Saturday, May 24, 2014

Kisah Dongeng - 3 jam pertemuan bersama Tapit Z.



Hai, nama aku Ana. Nama betul Karana binti Kanapa. Aku seorang wanita (cewah!) yang sangat simple dan suka bersantai. Usia sudah lanjut 23 tahun namun masih belum berpunya dan tidak pernah pun mempunyai.(harap faham) Aku berbohong jika aku mengatakan bahawa aku tidak pernah punya 'crush' atau 'heartthrob' sekalipun. Mestilah ada! Segalanya berlaku kira-kira beberapa tahun yang lalu...
Eh, tapi aku bukan hendak mengimbau kenangan lalu. Aku hendak menceritakan kejadian pada hari Ahad yang lalu.

Pada suatu malam yang indah seperti kala malam bulan dipagari bintang, seorang rakan baikku yang sudah 2 tahun tiada bersua tiba-tiba menghantar sms mengajak aku keluar makan tengah hari pada hujung minggu. Aku terkejut. Sungguh aku benar-benar terkejut. Bayangkan hampir 2 tahun tidak bersua muka, tiba-tiba dia hendak mengajakku makan bersama? Unbelievable! Barangkali selama 2 tahun ini, fius kepalanya sudah rosak dan dia jadi lupa akan diriku. Sekarang fius kepala sudah dibetulkan, barulah dia ingatkan aku.

Namun, hatiku jadi ragu-ragu samada mahu setuju dengan pelawaannya itu. Oh ya, aku belum sempat memperkenalkan siapa rakan baikku itu. Namanya Tapit Z. Aku panggil Si Tapit. Dia berketinggian 178cm dan berat lebih kurang 70 kg (atau lebih,kurang pasti) dan punya iras-iras penyanyi terkenal Bruno Mars. Cewah, aku mengetahui tentang dirinya secara terperinci. Dia itu adalah lelaki paling terkenal di Malaya. Malah menjadi lelaki pujaan Malaya. Popularnya dia persis bintang Hollywood. Nama pun sudah ada bunyi ala-ala selebriti terkenal, Tapit Z. (ta-pit.zee) Aku sudah cukup bertuah kerana Si Tapit sudi berkawan denganku.

Ada banyak sebab-sebab utama aku ragu-ragu bersetuju dengan ajakannya. Paling utama ialah, takut dilihat oleh jiran depan rumahku. Jiranku itu orang bujang, malah kami sama-sama orang bujang. Manalah tahu, selama ini dia memerhatikan aku yang tidak pernah keluar rumah dan mendapati aku adalah anak dara yang paling dijaga dengan baik oleh kedua orang tuaku. Siapa tahu kalau-kalau dia menaruh harapan untuk meminang aku!(besar sungguh angan-anganku) Tetapi disebabkan Si Tapit itu datang ke rumah aku dan membawa aku keluar, jiran depan rumah patah hati dan kecewa. Akibatnya, hasrat untuk meminang aku dilupakan! Melepaslah aku. Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya aku tidak dipinang orang dan tidak berkahwin? Si Tapit itulah yang harus bertanggungjawab. Namun tidak sanggup pula aku hendak berkahwin dengan Si Tapit sebagai gantinya.(kerana Si Tapit itu sangat perasan kacak orangnya)

Sebab utama yang kedua, aku segan ingin berjumpa. 2 tahun berlalu, aku pula semakin menyerupai watak kartun popular Doraemon. Pasti Si Tapit tidak dapat mengenal pasti aku. Pasti Si Tapit akan berasa malu untuk makan bersama aku. Dan macam-macam lagi tanggapan lain yang tidak perlu aku senaraikan.

Sebab ketiga, sebabnya aku tahu, kalau aku berjumpa dengan Si Tapit kali ini, pasti 10 tahun akan datang lagi baru kami akan bersua kembali. (selalunya begitu) Jadi untuk apa berjumpa kalau nanti akan terjadi begitu? Hanya jumpa aku untuk suka-suka dan membuang masa aku? Datang dan pergi sesuka hatinya? Cari aku apabila perlu? Tidak rela aku dipermainkan begitu. 2 tahun dia bersikap buang batu terhadapku. Sampai hati dia! Selama ini aku anggap dia sebagai kawan tapi dia anggap aku macam...(macam apa ya?). Ah, pedulilah. Pokoknya, seperti habis madu sepah dibuang. Atau, seperti kacang lupakan kulit?

Sebab keempat, Si Tapit itu orang lelaki, aku ini pula orang perempuan, nampak tidak elok jika dipandang orang. Aku juga takut jikalau ada yang mengenali aku terserempak kami. Emakku memberi cadangan supaya aku membawa adik lelakiku ikut sekali. Selama lebih 10 tahun aku berkawan dengan Si Tapit, aku memang tahu Si Tapit itu tidak akan berani mengapa-apakan aku. (misteri pula bunyinya,jangan risau, Si Tapit bukan penculik bersiri)

Walau betapa ragunya hatiku, kuat pula perasaan ingin bersetuju. Tapi kenapa tiba-tiba, selepas 2 tahun kau menyepi dan menghilang? Rindu padaku katanya. Cis, manis sungguh mulut berbicara, pedih lagi hati dan telinga mendengar. Kerana tidak pasti samada ikhlas atau pura-pura. Walaubagaimanapun, aku bersetuju untuk keluar makan dengan Si Tapit. Tapi syaratnya, Si Tapit datang ke rumah dan bersalam dengan emakku sebelum membawa aku keluar.

Hari kejadian, tepat jam 12 tengah hari, Si Tapit sampai ke rumahku. Emak menyambut mesra kehadiran Si Tapit. (Emakku memang begitu kalau menerima tetamu) Si Tapit bersalam dengan emakku dan mereka berbual sebentar sebelum aku dan Si Tapit meminta diri untuk keluar. Tetapi pada hari itu, kami keluar berdua sahaja. Entah kenapa adikku tiba-tiba tidak mahu mengikut aku keluar. Memang bertuah punya adik. Emak memberi kebenaran kerana percaya pada Si Tapit (padahal Si Tapit itu penyangak besar!) dan kami sudah berkawan lama sejak dari sekolah rendah lagi.

Kami ke pusat bandaraya Meow-meow dan seterusnya ke pusat beli-belah Da Sepering. Kami makan di Sushi King. Amboi, mentang-mentang Si Tapit itu belajar di Jepun, dia membawaku makan makanan Jepun juga. Kami duduk makan sambil berbual-bual. Entah apa yang dibualkan, aku juga sudah lupa. Maklum saja memori otakku sudah rosak sebelum ini. Masa makan bersama itulah, aku mengambil kesempatan untuk melihat wajahnya yang sudah lama tidakku lihat. Aku tidak mahu mengambil gambar kerana aku tidak mahu menyimpannya. Cukup setakat merakamkan wajahnya dalam memori otakku. Tetapi setiap kali aku cuba ingatkan kembali, pasti muncul wajah penyanyi Bruno Mars. (maaf, fius kepalaku sudah rosak)

Si Tapit baik hati. Dia membayar bil yang agak mahal untuk makanan kami. Aku terfikir juga, adakah selama 2 tahun ini dia menyepi kerana takut terpaksa membawa aku keluar makan ke restoran mahal? AKu tidak pernah minta untuk makan di restoran mahal. Kalau di gerai atau kantin sekolah pun aku tidak kisah. Aku cuma ingin berbual dengannya. Sebenarnya, aku masih berkecil hati padanya. 2 tahun tidak bersua, setiap kali pulang ke bandar Meow-meow sebelum ini, tidak pernah pula mengajakku makan bersama? Lagu Yuna berjudul 'Decorate' tiba-tiba terngiang di telinga.

"SO you decided to see me out of the blue,
should I let you come over?
You do this all the time,
You come and you go like I'm nothing, you know?"

Seusai makan, aku ingin menunjukkan kepadanya surau terdekat jika dia hendak solat namun ragu-ragu pula aku jadinya. Dari belakang,aku memerhati Si Tapit dari kepala sampai kaki. Si Tapit memakai seluar pendeklah. Adakah dia akan menunaikan solat dengan berseluar pendek? Aku membantutkan hasrat untuk memaklumkannya.

Alang-alang Si Tapit pernah beritahu dia akan menanggung segala perbelanjaan makan, aku meminta dia bayarkan air Milo yang aku beli. (memang aku mahu kasi pau sama Si Tapit, takut-takut aku tidak akan berjumpa dengannya lagi,biarlah dia belanja aku) Kami berbaris di kaunter membeli minuman. Di hadapan kami ada seorang perempuan Melayu bertudung. Sekali aku memandang saja, aku perasan bahawa perempuan itu nampak cantik. Dengan make-upnya dan gaya pemakaian hijabistanya. Memang stailista sekali jika dibandingkan dengan gaya kampungan aku ini. Dalam hatiku, "Pasti Si Tapit juga memandang dan memuji perempuan itu"
Tanggapanku benar!
Si Tapit tiba-tiba bersuara selepas kami bergerak keluar. Dia bertanyakan aku tentang perempuan bertudung cantik di hadapan kami. (entah kenapa hatiku jadi panas)

"Hei, kau dah kenapa Tapit? Terpikat sama diakah?" tapi tidak terkeluar pertanyaanku itu.

"Kuat betul bau parfum perempuan tadi,"

Nasib baik dia hanya memberikan komen tentang bau wangian perempuan tersebut. Jika tidak, memang sudah aku berikan penangan bunga silat dan terajang terbang padanya sampai patah lehernya. (berimaginasi liar aku seketika)

Desis hatiku, "Ceh, bau parfum yang kau hidu? Aku pun boleh jugalah pakai parfum sekuat itu. Senang saja, ambil satu botol parfum dan simbah pada baju. Tapi aku tidaklah segila itu. AKu ini perempuan yang keluar berdua dengan kau. Tidak elok jika aku memakai wangi-wangian yang menarik perhatian"

Aku mendiamkan diri saja. Itu lebih baik daripada aku bercakap banyak dengan Si Tapit. Malas hendak melayan.

Sampainya aku dirumah, sebelum aku melangkah keluar dari kereta Hyundai Elantra berwarna Biru milik orang tua Si Tapit, dia sempat memberikan aku 'souvenir' dari Sabah. (dia baru pulang bercuti dari Sabah) Katanya 'photo frame'. Aku sudah berasa 'excited' kerana dapatlah aku meletakkan gambar konvo dan dipamerkan di ruangan tamu. Sebelum itu juga, dia mengirimkan salam kepada keluargaku. Ingin juga aku mengirimkan salam kepada keluarganya namun apakah keluarganya mengenali diri aku? Melihat muka aku pun belum pernah. Segan pula aku ingin mengirimkan salam. Takut juga Si Tapit tidak menyampaikan.(manalah tahu)

Di rumah,alangkah kecewa rupanya bukan bingkai gambar yang diberi Si Tapit namun 'photo album'. Aku jadi bingung. Gambar apa yang hendak aku letakkan. Aku ini kurang bergambar dan mengambil gambar. Gambar kucing adalah.

"Ah, tidak mengapalah. Biar aku simpan saja 'photo album' ini. Manalah tahu, boleh dibuat untuk menyimpan gambar perkahwinan kami, hohoho"...

Desis hatiku yang begitu jauh berangan-angan. Dengan segera aku mengucap dan berzikir.

Begitulah, pertemuan singkat selama 3 jam bersama Si Tapit. 2 tahun tidak bersua di ringkaskan dalam pertemuan 3 jam. Banyak yang aku cerita dan bualkan, banyak lagi yang belum sempat aku luahkan.


Kepada Si Tapit, terima kasih atas segalanya. Aku sangat terhutang budi atas kesudianmu mempelawa aku makan bersama. Insya-Allah, di kemudian hari apabila aku sudah bekerja dan menjana pendapatan 3k, akanku belanja kau makan ya, Si Tapit. Aku mesti belanja kau satu hari nanti. Janji!

sumber: google

Tuesday, May 13, 2014

Selamat 23!

Assalamualaikum wr wbt...

Setelah sekian lamanya aku meninggalkan belog ini, sedar tidak sedar, aku sudah pun menginjak usia tuaku...

Selamat Berumur 23 Tahun buat diri sendiri :)
Semoga Umur Panjang dan Murah Rezeki ku, insya-Allah...
Semoga mendapatkan kejayaan di dunia mahupun akhirat, insya-Allah!

Terima kasih kepada rakan-rakan baik yang selalu menyokong aku selama ini. Kalian akan selalu dalam ingatan aku :):):)


Wasalam.