Sunday, September 14, 2014

Pertemuan Singkat Semalam

Tengah hari itu, hati aku berdebar-debar. Perlukah aku bertemu dengannya? Haruskah aku meluahkan kepadanya? Harus, dia harus tahu apa yang aku rasakan. Perasaan aku yang sebenarnya.

Aku duduk berhadapan dengannya di meja yang sama. Mata kami bertentangan. Aku membisu seketika. Berdiam sambil melihat wajahnya. Dirinya terkadang sibuk melayan telefon pintar di tangan. Aku mengukir sebuah senyuman tanda aku datang dengan baik. 

Aku membuka bicara, bertanya khabar. Berbicara untuk 'warming up' sebelum aku membuka isu. Dia mendengar seperti acuh tak acuh. Sibuk dengan telefon pintarnya. Tetapi ada juga dia berbicara. Apa yang dia ucapkan tidak menarik minat aku sama sekali sehingga aku memandang ke arah tempat lain. Ku fikir, dia sedar bahawa aku tidak mahu mendengar. Ku fikir, dia pasti akan sedar itulah yang aku rasa apabila dia dahulukan telefon pintarnya berbanding aku yang mahu berbicara dengannya. 

Pertemuan semalam sangat singkat. Aku sudah meluahkan apa yang patut. Dia sudah dewasa. Dia sudah pandai berfikir secara waras. Dia seharusnya boleh memahami isu dan intipati perbicaraan aku dan pertemuan kami. Tidak aku sangka, pertemuan kali ini lebih singkat dan dingin. Aku menahan satu perasaan di dalam hati. Bukan! Bukan satu perasaan, tetapi pelbagai perasaan. Perasaan marah, geram, kecewa dan sedih. Aku menahan daripada menangis. Aku tidak mahu dilihat sebagai seorang yang lemah. Aku kuat! Aku pasti boleh!

Pertemuan semalam, berakhir dengan satu lambaian tangan dan wajahmu yang memandangku sebelum kau menoleh ke depan untuk berjalan ke arah sana. Aku pula di sini, melihat kau berjalan semakin jauh. Aku juga turut memulakan langkah tetapi ke arah sini, sambil mataku samar-samar melihat orang-orang di sekeliling.

Tidak lama selepas itu, petang itu, hujan pun turun dengan lebat. Diikuti angin kencang yang berupaya menumbangkan satu papan tanda di jalan. 

Satu mesej pesanan ringkas darimu,

"hujan"

Aku yang masih berada di dalam bangunan besar itu dengan segera menjenguk ke luar. Ya benar, hujan sangat lebat sekarang.

Andainya kau tahu, cuaca yang mendung dan suram, hujan yang lebat diikuti angin kencang itu, begitu jugalah rasanya di hatiku. Namun, tangan menaip laju di telefon,

"ya. kau sekarang di mana?"

"di rumah"

Andainya kau tahu, jika semalam ialah pertemuan terakhir kita, andainya kau tahu jika sms semalam ialah perhubungan terakhir kita. 

13hb sept 2014
Sumber: google