Sunday, February 19, 2012

To the one I love, prepare to ...

***
"Mama tidak rela kau berkahwin dengan pemuda itu, Nina", jelas mama.

"Tapi mama, saya sayangkan dia. Dia juga begitu. Dia berjanji akan menjaga saya sebaiknya dan menyayangi saya sepenuh hatinya",

"Degil kamu ya,"

"Ma, tolong ma. Bukan saya mahu membantah cakap mama. Apa kata orang kalau mama menghalang saya berkahwin dengan Eddie hanya kerana Eddie seorang lelaki berbangsa Melayu? Pasti orang akan memperkatakan mama seorang racist,"

"Mama takut, Nina. Takut kalau ada seorang lagi ahli keluarga mama disakiti dan ditindas oleh seorang lelaki Melayu, lelaki yang mereka jadikan sebagai suami mereka."

Nina hanya menundukkan muka tanda mengerti. Nina mengerti akan penyebab mama bertindak sedemikian rupa. Nina berasal dari keluarga berketurunan Bidayuh Biatah.Tiga orang saudara perempuan Nina berkahwin dengan lelaki Melayu. Tapi ketiga-tiganya tidak berkesudahan baik. Mereka ditindas, diabaikan oleh suami mereka. Mereka hidup merana kerana suami mereka.

Mama sangat sayangkan Nina. Maklumlah, Nina adalah satu-satunya anak perempuannya. Mama pasti tidak akan sanggup membenarkan Nina merana kerana suami apabila sudah berkahwin kelak. Dan Nina juga mengerti betapa dia disayang bagai menatang minyak yang penuh oleh mamanya. Nina juga sayang akan mama, tapi itu tidak bererti mama boleh menghalangnya daripada jatuh cinta terhadap seorang lelaki berbangsa Melayu.

"Ma, Eddie itu sangat serius terhadap perhubungan kami. Kalau tidak, manakan dia mahu menghantar rombongan meminang saya? Fikirkan ma. Saya berasa sangat gembira dan bahagia bersama dia, tidak mungkin saya akan merasakan perasaan yang sama terhadap lelaki lain. Saya berjanji Ma, kalau saya berkahwin dengan Eddie, saya tidak akan membenarkan dia menyakiti saya, secara mental mahupun fizikal. Saya berjanji Ma," jelas Nina. Beberapa kali dia menekan perkataan 'janji' nya itu.

Mama terdiam seketika sebelum meneruskan kata-kata,
"Baiklah kalau kau berkata begitu. Kau sudah suka, mana Mama dapat halang perasaan suka kau itu. Kalau kau bahagia, Mama pun akan tumpang bahagia,"

*****

Nina bahagia kerana dapat membina sebuah keluarga bersama lelaki yang dia percaya dapat membimbing dia ke jalan yang benar. Nina juga bersyukur kerana Mama akhirnya merestui hubungan dia dan Eddie.

Nina dan Eddie, sama padan, sama cantik bagai pinang dibelah dua. Nina, seorang gadis yang manis senyumannya dan berkulit cerah dan gebu. Eddie pula, seorang jejaka yang sangat segak, berkulit sawo matang, tinggi dan sederhana kurus orangnya. Menurut Nina, Eddie adalah 'lelaki Melayu terakhir'.

Eddie adalah lelaki terbaik bagi Nina. Eddie seorang yang penyayang dan penyabar. Eddie juga sukakan kanak-kanak. Lega hati Mama apabila melihat Nina bahagia bersama Eddie.

"Nampaknya, Nina tidak salah memilih suami. Suaminya sangat sayang akan dirinya," bisik hati Mama.

Nina dan Eddie, masing-masing mempunyai kerjaya sendiri. Nina seorang juruaudit profesional di sebuah syarikat audit. Eddie pula seorang peguam di sebuah firma guaman terkemuka di Malaysia. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kadang-kadang, mereka tidak berjumpa selama 4 bulan kerana kesibukan yang melampau melanda kedua-duanya.

Ada masanya, Eddie bekerja ke tempat lain, berjumpa dengan klien dan menjadi peguambela untuk kes-kes yang diambil alihnya.

Ada masanya pula, Nina pergi mengikuti kursus, bekerja di pejabat sehingga lewat malam dan terlalu penat untuk pulang ke rumah.

Saban hari, mereka jarang berjumpa dan juga jarang menelefon antara satu sama lain. Tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai seorang pun cahaya mata walaupun sudah berkahwin selama 2 tahun.

"Kau harus berbuat sesuatu, Nina. Kau dan suami kau selalu sangat berjauhan. Itu tidak baik. Kau di tempat lain, suami kau di tempat lain. Apa kau melihat apa yang dilakukannya di belakang kau?" kata seorang rakan baik Nina, Lenot.

"Aku percaya 100% terhadap suami aku. Mana mungkin dia berlaku curang terhadapku,"

"Kalau sudah namanya lelaki, Nina. Apa-apa pun boleh terjadi. Kau itu terlalu menyibukkan diri dengan kerja. Sudah memadai kalau suami kau sahaja yang bekerja menyara keluarga,"

Perbualan Nina dengan Lenot telah membuat Nina sedar. Kalau keadaan ini berterusan, hubungan dia dan suaminya mungkin akan retak. Lelaki kebiasaannya lebih suka kalau isteri mereka duduk di rumah menguruskan rumah dan makan minum suami.

Nina menelefon suaminya dan memaklumkan bahawa dia sudah berhenti kerja sebagai juru audit. Kini, dia sudah bergelar sebagai suri rumah sepenuh masa. Dapatlah dia memfokuskan tanggungjawabnya menguruskan rumah dan keluarga.

*****
Kebelakangan ini, Eddie selalu sahaja pulang lewat malam. Kadang-kadang subuh baru pulang. Nina kehairanan. Masakan bermesyuarat dengan klien sampai tidak tidur? Apabila ditanya, pasti Eddie memberikan jawapan yang sama. Ada masanya Eddie naik angin apabila ditanya. Nina menghidu sesuatu yang licik.

Pada suatu malam, Eddie keluar rumah. Nina berniat untuk mengekori suaminya ke destinasi yang dikatakan mahu berjumpa dengan klien dari luar negara.

Dengan berhati-hati Nina memandu keretanya mengekori kereta Eddie agar tidak dilihat oleh suaminya itu. Nina menyusuri jalan-jalan di kotaraya mengekori Eddie dan berhenti berhampiran kawasan yang Nina takut untuk memikirkan kalau-kalau suaminya singgah di situ.

Ya, apa yang Nina takutkan adalah satu kenyataan yang menampar kuat mukanya. Eddie memasuki salah sebuah premis kelab malam di bandar. Nina mengekori. Alangkah terkejutnya Nina apabila melihat Eddie berpelukan dan bercumbuan dengan seorang wanita yang bukan mahramnya. Nina terus keluar dari tempat itu dan memandu pulang ke rumah. Remuk-rendam hati Nina. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, air matanya tidak henti-henti mengalir membasahi pipinya.

Pada malam-malam yang berikutnya, Nina masih tetap mengekori Eddie dan Nina tetap masih menyaksikan aksi yang sama antara Eddie dan seorang wanita. Nina berdiam sahaja kalau bersemuka dengan Eddie. Dia tidak mahu Eddie tahu bahawa dia telah mengekori Eddie ke pusat hiburan. Pasti mereka akan bergaduh besar kalau Nina pecah rahsia Eddie. Dia juga tidak mengadu kepada sesiapa terutama Mamanya. Pasti Mama akan masuk campur urusan rumah tangga mereka. Nina tidak mahu semua itu. Dia sudah berjanji dengan Mama, dia tidak akan membenarkan Eddie menyakitinya. Nina tekad akan mengatasi masalahnya sendiri.

*****
Seluruh bandar digemparkan dengan berita kematian seorang peguam di sebuah firma guaman terkenal mati ditikam ketika keluar dari sebuah pusat hiburan. Peguam terbabit dibunuh dengan motif rompakan. Jam tangan Tissot, wang tunai dan kad kredit semuanya hilang dari simpanan mangsa ketika diperiksa oleh pihak polis.

Seluruh keluarga, keluarga Nina mahupun keluarga Eddie juga gempar dengan berita tersebut. Peguam yang mati dibunuh itu adalah Eddie. Nina rebah pengsan pada malam pihak polis datang ke rumahnya menyampaikan berita tersebut. Nina sudah tidak mampu menangis lagi. Sudah banyak Eddie membuatkannya menangis, mungkin itu balasan Eddie yang selayaknya.

Seluruh keluarga juga sudah tahu akan masalah rumah tangganya. Namun Nina hanya mempamerkan raut wajah yang tenang dan tetap mengukir senyuman pada wajahnya kerana tidak mahu diperkatakan hidup merana bersama Eddie selama suaminya itu hidup.

Nina berpakaian serba hitam, jubah hitam bertatahkan manik-manik hitam yang berkilauan apabila terkena pancaran matahari dan pashmina sehitam kopi dan kasut tumit tinggi berwarna hitam jenama Charles&Keith mengadiri majlis pengebumian Eddie di tanah perkuburan yang terletak di kampung halaman Eddie. Nina juga mengenakan shades yang mampu menutup matanya agar tidak kelihatan merah matanya nanti. Aneh, kerana Nina tidak pernah mempunyai jubah cantik sedemikian rupa. Pakaian yang dikenakan Nina kelihatan masih baru dan mahal.

Selesai pengebumian, semua orang bersurai pulang. Nina bergerak perlahan menuju keretanya sambil mengukir sebuah senyuman kecil yang sangat sinis.

*****
Sudah sebulan Nina mengekori Eddie. Nina sudah tidak tahan lagi. Dia sudah naik minyak. Hampir setiap malam Eddie mengunjungi kelab malam dan berpelukan dengan perempuan lain.

"Aku mahu dia mati!" getus hati Nina, marah.

"Nah, ini wang tunai RM 10,000. Aku mahu dia selesai malam ini juga," jelas Nina kepada seorang lelaki berbangsa Cina yang berbadan tegap dan bermuka bengis sambil menghulurkan sampul surat berwarna kuning.

"Anggap sahaja sudah selesai, puan," jawab lelaki tersebut apabila disambutnya sampul surat yang diberikan.

"Mulai malam ini, panggil aku 'Miss Nina'," kata Nina sambil memulakan langkah pergi dari situ.

*****
Eddie mati ditikam sejurus selepas dia keluar dari sebuah pusat hiburan yang dikunjunginya. Dia mati ditikam dengan pisau pada bahagian dadanya sebanyak tiga kali. Tikaman pertama yang tepat menusuk jantung sudah cukup untuk menamatkan riwayatnya.

Eddie baru sahaja melangkah keluar dari sebuah kelab malam sambil berpelukan dengan seorang wanita. Ketika sudah menghampiri kereta, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki dan salah seorang daripada mereka menumbuk muka Eddie. Eddie mengerang kesakitan. Wanita yang bersama Eddie sudah pengsan setelah mereka menutup mulutnya dengan kain yang telah dibubuh sejenis kimia dan wanita itu dibawa ke suatu tempat lain.

Eddie pula dibawa ke suatu lorong yang sangat gelap, dia juga tidak tahu dimana. Mungkin tidak jauh dari pusat hiburan yang dikunjunginya. Eddie cuba melepaskan diri namun dia sudah tidak berdaya untuk melawan 5 orang lelaki yang berbadan tegap, bermuka bengis dan masih waras. Mereka menumbuk dan menendang Eddie yang sudah terbaring di atas jalan.

Tiba-tiba, mereka berhenti menumbuk dan menendang. Kedengaran bunyi tapak kasut menghampiri. Kelima-lima lelaki tersebut memaling muka ke arah bunyi tapak kasut. Samar-samar kelihatan susuk badan seorang wanita. Eddie yang sedang terbaring menahan kesakitan turut mengangkat muka untuk melihat siapa yang menghampiri dan membuatkan mereka berhenti memukul.

Nina! Nina datang selamatkan aku! Eddie hampir mengukir senyuman dan menarik nafas lega apabila melihat Nina. Nina menghampiri dan betul-betul berdiri di hadapan Eddie yang masih terbaring di atas jalan. Wanita yang berdiri di hadapan Eddie ialah Nina namun raut wajah yang dipamerkan tidak menampakkan raut wajah Nina yang selalu tersenyum manis. Kali ini, raut wajahnya berubah, tidak tersenyum manis tetapi nampak bengis. Kelihatan api yang membara di dalam matanya membuatkan Eddie takut.

Nina mengukir satu senyuman jahat dan sinis.

"Kepada suamiku tercinta, bersedia untuk mati!"

Satu tikaman tepat di dada mengena jantung Eddie dan menamatkan riwayatnya. Tiga tikaman, tiga tusukan pisau di jantung.

Nina ketawa riang di dalam hati. Baru sebentar tadi dia menangis, sekarang dia tersenyum seperti orang hilang akal.

"Baru kau tahu siapa aku, Eddie. Jangan ingat kau boleh main-main dengan aku. Aku pernah berjanji dengan Mama, aku tidak akan membenarkan kau menyakiti aku dan aku telah berjaya," bisik hati Nina.

*****
3 tahun berlalu setelah kematian Eddie, Nina kini bahagia menjalani kehidupan barunya. Nina berkenalan dengan seorang lelaki berbangsa Jerman yang dikenalinya melalui ibu saudaranya. Rio bekerja sebagai jurutera di syarikat yang sama ibu saudaranya bekerja.

Rio seorang yang baik dan serius akan perhubungannya dengan Nina. Nina hanya dapat berharap agar Rio tidak akan menyakiti hatinya sama seperti Eddie memperlakukan perkara yang sama terhadapnya.

"Perkara yang sama bakal menimpa mana-mana lelaki yang membuat aku menangis,"

Nina hanya tersenyum sendirian memikirkan perkara yang lalu ketika duduk sendirian menikmati cappucino di sebuah restoran Melayu ala Itali. Berkemundang sebuah lagu indah nyanyian Yuna,

"Terukir di bintang, tak mungkin hilang cintaku kepadamu..."

sumber: google


-Tamat-


p/s: originally written by Ash-the-Latitude, www.latituddanlongitud.blogspot.com

No comments: